Diyana Tahir - FB Diyana Tahir.

KUALA LUMPUR – Pengasas eHati International Sdn Bhd (eHati), Diyana Tahir bukan seorang kaunselor berdaftar dan tidak tersenarai dengan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM).

LKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkhidmatan kaunseling hanya boleh dijalankan oleh kaunselor yang berdaftar sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kaunselor 1998 (Akta 580).

Menurutnya, sebarang pelanggaran terhadap peruntukan itu merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“LKM memandang serius terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan gelaran atau pengendalian perkhidmatan kaunseling tanpa kelayakan dan pendaftaran yang sah.

“Orang ramai disarankan untuk sentiasa menyemak status pendaftaran kaunselor melalui saluran rasmi LKM bagi memastikan mereka menerima perkhidmatan yang sah dan diiktiraf,” katanya.

Terdahulu, polis menahan reman pasangan suami isteri yang juga pengasas program motivasi eHATI bersama empat individu lain berusia antara 26 hingga 57 tahun selama tiga hari bagi membantu siasatan berkait program yang dianjurkan mereka.

Ia selepas Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan terdapat aktiviti bogel dilakukan empat individu pada program motivasi rumah tangga eHati di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 27 hingga 30 September tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast