KUALA LUMPUR – Enam syarikat Malaysia bersama 15 delegasi berkunjung ke Zambia bagi meneroka peluang pelaburan dalam sektor utama di negara itu seperti perlombongan, pertanian, tenaga dan pelancongan, yang mana kesemua sektor berkenaan sedang berkembang pesat dan memerlukan kepakaran dan modal asing.
Pengarah Urusan Agensi Pembangunan Zambia (ZDA), Albert Halwampa berkata, Zambia kini menyediakan iklim pelaburan yang stabil termasuk insentif fiskal dan bukan fiskal bagi menarik pelabur asing.
“Zambia terbuka kepada rakan antarabangsa yang berkongsi visi pertumbuhan mampan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Duta Besar Zambia ke Malaysia, Morecome Mumba pula menambah, penglibatan syarikat Malaysia bukan sahaja mampu memberi nilai ekonomi kepada Zambia tetapi juga menggalakkan pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti tempatan.
“Saya menyeru pelabur Malaysia supaya turut mempertimbangkan Zambia sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan — negara kami menawarkan lebih daripada keindahan alam, ia adalah pasaran yang bersedia menerima pelaburan,” ujarnya.
Kunjungan delegasi Malaysia bermula kelmarin hingga 19 Julai ini dijadualkan menghadiri sesi padanan perniagaan, pertemuan bersama pegawai kanan kerajaan Zambia, lawatan ke tapak projek serta forum perniagaan bagi mengenal pasti sektor yang sepadan dengan kekuatan dan kepakaran tempatan.
Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Zimbabwe, Aniff M. Fauzi berkata, Zambia merupakan antara ekonomi yang stabil di Afrika..
Tambah beliau, walaupun perdagangan dua hala antara Malaysia dan Zambia masih kecil dari segi jumlah namun misi ditersebut lihat sebagai langkah konkrit ke arah kerjasama ekonomi yang lebih meluas.
Ia juga menyasarkan perkongsian strategik yang dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















