Bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Seorang wanita berusia 67 tahun gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan di sini berhubung keputusan yang mendapati beliau telah memfitnah dua anak kandungnya yang juga ahli perniagaan bergelar Datuk.

Media melaporkan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azimah Omar mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen sebelum ini memerintahkan V.T. Menaka membayar RM200,000 sebagai ganti rugi kepada anak-anaknya, M Natarajen, 42, dan M Satishkumar, 41.

Ini susulan penerbitan satu video berbahasa Tamil berdurasi 30 minit di Facebook pada September 2020 yang disertakan dengan kapsyen berbaur penghinaan telah menjejaskan reputasi kedua-dua plaintif, menurut keputusan mahkamah.

“Malangnya, dua anak ini terpaksa membawa ibu mereka sendiri ke muka pengadilan. Semua elemen fitnah telah berjaya dibuktikan oleh plaintif.

“Mahkamah menolak hujahan pembelaan defendan yang mendakwa kenyataannya adalah komen adil dan berdasarkan kebenaran dengan menyifatkannya tidak relevan dan tidak dapat dipertahankan di sisi undang-undang,” kata Azimah yang bersidang bersama Hakim Datuk Wong Kian Kheong dan Hakim Datuk Ismail Brahim.

Mahkamah memerintahkan Menaka membayar RM20,000 kos mahkamah kepada kedua-dua anaknya.

Menurut peguam plaintif, M. Manoharan, Menaka kini diisytihar muflis setelah gagal membayar jumlah penghakiman terdahulu sebanyak RM100,000 kepada setiap anak dan kos tambahan RM10,750 yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada tahun 2023.

Kata Manoharan, rayuan ini difailkan Menaka selepas mendapat kebenaran daripada Jabatan Insolvensi.

Sebelum ini, Menaka menerusi hantaran Facebook bertarikh 19 September 2020, mendakwa kedua-dua anak lelakinya adalah “penjenayah besar”, telah memalsukan tandatangannya untuk menyingkirkannya sebagai pengarah syarikat keluarga, Linsun Group of Companies Malaysia.

Wanita itu juga mendakwa kedua-dua anaknya berniat membunuhnya menggunakan pistol. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast