KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan khabar angin bahawa beliau dipilih sebagai calon untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu menjelaskan, isu itu tidak timbul kerana kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar ketika ini masih stabil.
“Mana ada cukup sokongan (untuk melantik saya sebagai Perdana Menteri) apabila UMNO hanya ada 26 Ahli Parlimen?
“Apa yang saya hendak katakan adalah, Kerajaan Perpaduan aman dan stabil. Jangan ganggu pentadbiran.
“Jika awak tidak berpuas hati, tunggu pilihan raya akan datang,” katanya seperti yang dilaporkan sebuah portal, hari ini
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika mengulas spekulasi yang mengatakan beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-11 susulan kedudukan Anwar ketika ini sedang terancam.
Menurut portal berkenaan, khabar angin tersebut timbul selepas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama lapan lagi ahli Parlimen PKR merancang untuk meninggalkan parti dan memberi sokongan kepada Johari sebagai Perdana Menteri.
Katanya, kumpulan tersebut sudah bersedia untuk menyokong ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pas termasuk dari Sabah dan Sarawak untuk memberi mandat kepada Johari bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan 2.0. -MalaysiaGazette
















