Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu SUV tersebut sebelum KKM mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

TASEK GELUGOR – Seorang lelaki ditemukan tidak bernyawa di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang enjinnya masih hidup di belakang deretan premis perniagaan di Taman Ara Mutiara di sini semalam.

Mangsa berusia 34 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu SUV jenis Mazda CX-5 yang berkunci.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira  8.50 malam.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor segera dikerahkan ke lokasi dan tiba sekitar 9.03 malam. Sebaik tiba, anggota mendapati pintu kenderaan berkunci rapat manakala mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas.

“Anggota bomba kemudian bertindak membuka pintu menggunakan peralatan khas dengan bantuan pihak polis.

“Susulan itu, pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah John Sagun, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 9.35 malam dan kes kini diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast