KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO) menggesa siasatan bersepadu segera dilaksanakan ke atas sindiket pelaburan didakwa patuh syariah yang mengakibatkan kerugian melebihi RM83 juta dengan mangsa mencecah ratusan di seluruh negara.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kelewatan dan kekurangan penyelarasan antara agensi siasatan utama seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dan Bank Negara Malaysia (BNM) boleh mengakibatkan dalang utama meloloskan diri ke luar negara.
“Siasatan sekarang dilihat dijalankan secara berasingan oleh setiap agensi. Sedangkan kerugian yang dialami mangsa amat besar sehingga ada yang hilang simpanan persaraan, modal perniagaan, malah terpaksa berhutang akibat terpedaya.
“Kita risau, jika tiada tindakan bersepadu, keadilan tidak dapat ditegakkan sehingga bila-bila,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambah Hishamuddin baharu sahaja menyerahkan tiga surat rasmi kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi mempercepatkan siasatan dan mendesak kertas siasatan segera diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan.
Menurut Hishamuddin, empat syarikat yang dikenal pasti memiliki modus operandi hampir sama, termasuk menggunakan nama tokoh agama sebagai penasihat syariah untuk meyakinkan pelabur.
Untuk makluman, tiga syarikat menawarkan pelaburan ‘preference share’ kepada golongan berpendapatan tinggi, manakala satu lagi menjual saham biasa kepada lebih 50 pelabur yang secara teknikalnya telah melanggar undang-undang sebagai tawaran awam tanpa kebenaran.
“Kesemua syarikat ini tidak mendapat kelulusan daripada SC malah mereka juga tidak mempunyai akaun pelaburan amanah yang dipantau pemegang amanah berdaftar dengan SSM menyebabkan keselamatan pelaburan diragui,” jelas beliau.
Setakat ini, MHO menerima 296 aduan melibatkan kerugian hampir RM83 juta namun jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi kerana ramai mangsa belum tampil membuat laporan.
“Kita perlukan tindakan kolektif, bukan siasatan silo. Kegagalan menangani isu ini dengan tegas hanya akan membuka ruang lebih luas untuk sindiket baharu muncul,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















