JOHOR BAHRU – Hasrat seorang lelaki menziarahi ibu saudaranya di Taman Gunung Emas, Ulu Tiram di sini malam kelmarin tidak kesampaian apabila diserang sekumpulan samseng.
Menurutnya yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel, 30-an, kejadian berlaku semasa dia baru pulang dari kerja dan singgah sebentar di rumah ibu saudaranya pada pukul 10 malam.
Dia yang bekerja sebagai penyelia stor di Singapura itu berkata, semasa berada di luar rumah tersebut, sekumpulan antara 30 hingga 40 lelaki menghampiri kediaman itu.
“Sebelum sempat masuk rumah, sekumpulan lelaki itu menangkap dan membawa saya masuk ke dalam sebuah kereta sebelum dibawa ke taman permainan berhampiran.
“Di situ, saya dipukul beberapa minit menggunakan tangan, kaki serta topi keledar,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sini hari ini.
Menurutnya mujur semasa kejadian itu beberapa anggota polis yang berada di restoran berhampiran datang melihat apa berlaku.
Menyedari kehadiran polis, sekumpulan lelaki terbabit terus melarikan diri namun seorang daripada mereka berjaya ditahan.
Disebabkan kejadian itu, dia cedera di bahagian belakang kepala selain patah tulang rahang serta patah rusuk.
Sementara itu, abang mangsa, Shan, 30-an, berkata, dia dan adiknya mengenali ketua kumpulan berkenaan yang juga berasal dari Ulu Tiram.
“Kami bukan kawan tetapi kenal kerana membesar di kawasan sama, kumpulan berkenaan merupakan samseng yang turut terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Mereka sebenarnya mahu anak mak cik kami di rumah itu tetapi kerana dia berada dalam rumah dan adik saya di kawasan luar, mereka culik dan pukul adik saya,” katanya.
Dia yang juga bekerja di Singapura berkata, sekumpulan lelaki tersebut mula mengugut keluarga sepupunya kerana pertengkaran mulut antara mereka beberapa tahun lalu.
“Bermula daripada kejadian itu, sekumpulan samseng ini kerap mengugut untuk mencederakan kami termasuklah dengan melanggar kami menggunakan kenderaan.
Shan mendakwa, insiden itu menyebabkan mereka sekeluarga hidup dalam ketakutan kerana kumpulan samseng terbabit mempunyai alamat kediaman dan tempat kerja mereka.
“Sehubungan itu, saya telah buat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 1.04 pagi semalam,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Setakat ini, seorang suspek lelaki berusia 25 tahun telah ditahan, manakala usaha mengesan rakan-rakannya yang lain sedang dijalankan,” ujarnya.- MalaysiaGazette















