KUALA LUMPUR – Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) mencatat keuntungan bersih RM11.4 juta pada tahun lalu, meningkat RM2.1 juta berbanding 2023.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dalam masa yang sama persatuan tersebut juga konsisten menyumbang kepada dana kebajikan dan pendidikan keluarga nelayan.
“Tahniah saya ucapkan kepada kumpulan pengurusan NEKMAT serta kepimpinannya di atas kejayaan ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan NEKMAT kali Ke-40 Tahun 2025, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Mohd. Faiz Fadzil.
Menurut Mohamad, persatuan berkenaan juga dilihat sedang meneroka projek pembangunan hartanah dan pembelian unit-unit strategik serta membangunkan kemudahan logistik seperti lori tangki dan bilik sejuk.
“Saya harap usaha ini dapat meningkatkan lagi pendapatan NEKMAT yang pada akhirnya dapat dinikmati secara bersama dengan ahli NEKMAT di seluruh negara,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau berharap persatuan tersebut akan terus mencatat prestasi yang membanggakan pada masa akan datang.
Katanya, NEKMAT memainkan peranan penting dalam membela nasib nelayan melalui pelbagai program dan projek ekonomi yang telah dilaksanakan.
“Ini termasuk antaranya melalui pengurusan minyak diesel bersubsidi sejak tahun1987. Kini, dengan kuota subsidise sebanyak 51 juta liter sebulan, NEKMAT masih terus diberikan kepercayaan dan peranan untuk memastikan bekalan bahan api ini diagihkan secara efisien dan berkesan kepada nelayan kita.
“Seperti sahabat-sahabat nelayan sedia maklum, NEKMAT turut menerajui aktiviti pemasaran ikan melalui pelbagai saluran seperti Pasar Borong, platform online seperti Shopee dan NekmatBiz serta program Ikan Rakyat (QFISH).
“(Selain itu) Produk sejuk beku berasaskan perikanan di bawah jenama “ENNA” seperti juga telah berjaya menembusi pasar raya utama dalam negara termasuklah sektor akuakultur,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
















