KUANTAN – Seorang pesara awal perkhidmatan awam terjerat penipuan tawaran kerja sambilan sehingga mengalami kerugian berjumlah RM180,789.40.
Pemnangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt. Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa merupakan seorang wanita berusia 42 tahun telah tertarik sebuah iklan kerja sambilan dari rumah yang dipaparkan di laman media sosial Facebook.
Menurutnya, iklan tersebut menjanjikan pulangan lumayan dengan hanya melakukan tugasan dalam talian.
”Mangsa telah berhubung dengan beberapa akaun Telegram bagi mendapatkan tugasan dan dijanjikan bayaran selepas tugasan selesai.
”Namun, mangsa diminta untuk membuat bayaran pendahuluan kononnya bagi proses pengeluaran bayaran.
”Mangsa telah melakukan sebanyak 18 transaksi ke 16 akaun bank berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan RM180,789.40 menggunakan wang gratuiti dan simpanan peribadi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kesemua transaksi dilakukan antara 6 Julai hingga 16 Julai 2025 dan mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila diminta untuk terus membuat bayaran tambahan walaupun tugasan telah diselesaikan.
Susulan itu satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa pada jam 10 pagi hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tawaran kerja yang menjanjikan keuntungan mudah melalui media sosial.
Sebarang maklumat lanjut berkenaan aktiviti penipuan dalam talian boleh disalurkan kepada pihak polis melalui talian CCID Scam Response Center di 997 atau melayari laman sesawang semakmule.rmp.gov.my. – MalaysiaGazette















