BUKIT MERTAJAM – Dua laporan polis dibuat hari ini oleh Sekretariat Bara Juang Negara berhubung dua isu berasingan yang disifatkan sebagai serius dan menggugat ketenteraman awam serta prinsip demokrasi negara.
Wakil sekretariat itu memaklumkan laporan pertama melibatkan satu hantaran di platform Facebook oleh kumpulan dikenali sebagai Penchinta Shalawat yang menyebarkan dakwaan palsu kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meninggal dunia.
“Hantaran tersebut turut disertakan dengan gambar yang didakwa palsu dan tidak beretika.
“Tindakan ini bukan sahaja berniat jahat, malah berunsur fitnah serta melanggar undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan luar IPD Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.
Tambah wakil itu, satu lagi laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Mohd Fawwaz Mohamad Jan berhubung penglibatannya dalam satu konvoi motosikal pada 13 Julai lalu yang didakwa membawa mesej menghasut rakyat agar menjatuhkan Perdana Menteri melalui tindakan jalanan.
“Adakah beliau gagal memahami sistem demokrasi berparlimen? Jika benar mempunyai asas dan sokongan, mengapa tidak membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat?
“Kita sifatkan tindakan Ahli Parlimen itu sebagai populis dan bertentangan dengan prinsip perlembagaan negara, selain mencemarkan institusi Parlimen.
“Justeru kita menggesa siasatan menyeluruh dijalankan ke atas kedua-dua insiden bagi memastikan kedaulatan undang-undang dipelihara dan sistem demokrasi negara tidak dicemari,” katanya. – MalaysiaGazette















