Yeou Huan (kiri) dan Boon Hai (kanan) menunjukkan surat rayuan daripada pengusaha perabot selepas sidang akhbar di Pejabat MFA, Muar hari ini,

MUAR – Tarif import baharu dikenakan Amerika Syarikat (AS) serta pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan menyebabkan industri perabot di daerah ini sukar bertahan dan berpotensi gulung tikar.

Presiden Persatuan Perabot Muar (MFA), Steve Ong Yeou Huan berkata, takrif dan dasar tersebut sangat membebankan mereka dan bimbang ramai pengusaha dijangka menghentikan operasi mereka.

“Sejak 2023 sudah ada kilang-kilang sub kontraktor yang menghentikan operasi. Dalam satu hingga dua tahun kebelakangan ini, beberapa kilang yang telah beroperasi lebih 20 hingga 30 tahun juga telah ditutup kerana tiada prospek.

“Jika kerajaan terus mengabaikan kesukaran yang dihadapi para pengusaha, lebih ramai pengilang akan terpaksa menutup operasi perniagaan mereka.

“Jika pengusaha perabot terpaksa menutup kilang atau memindahkan operasi ke luar negara, bukan sahaja peluang kerja akan terjejas malah menggugat keseluruhan rantaian industri yang berkait rapat,” katanya dalam sidang akhbar dihadiri wakil daripada lebih 800 ahli persatuan di Pejabat MFA di sini hari ini.

Steve berkata, tarif tambahan yang dikenakan AS teruk menjejaskan pengusaha tempatan kerana bergantung dengan pasaran ke negara berkenaan.

Pelaksanaan dasar kerajaan seperti peluasan skop SST, kenaikan tarif elektrik dan kewajipan mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaa (KWSP) untuk pekerja asing memburukkan lagi keadaan.

Justeru beliau menyeru kerajaan agar menangguhkan peluasan SST dan kenaikan tarif elektrik serta membatalkan dasar KWSP untuk pekerja asing.

Selain itu, katanya, menyediakan insentif kewangan dan bantuan peralihan bagi membantu syarikat menstabilkan operasi, mengelakkan pemberhentian pekerja atau pemindahan operasi ke luar negara.

Ia termasuk memulakan rundingan diplomatik dengan pihak AS bagi membincangkan pengurangan tarif import, demi melindungi daya saing eksport perabot negara di pasaran antarabangsa.

Ujarnya, kerajaan menggalakkan automasi dalam industri namun suasana pasaran tidak menentu ketika ini menyebabkan ramai pengusaha bersikap tunggu dan lihat kerana khuatir pelaburan besar yang berisiko rugi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perabot Malaysia (MFC), Desmond Tan Boon Hai berkata, industri perabot negara kini berada dalam keadaan tertekan akibat tekanan dalaman dan luaran.

Beliau yang juga Penasihat Eksekutif MFC berkata, pelbagai dasar kerajaan yang kurang sesuai telah menambahkan beban para pengusaha sehingga industri itu hampir tidak lagi mampu menanggung tekanan yang semakin memuncak.

“Pihak persatuan baru-baru ini telah mengemukakan surat rayuan kepada Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Selain itu semalam, saya dan ahli jawatankuasa persatuan turut mengadakan pertemuan dengan timbalan menterinya, Datuk Chan Foong Hin bagi menyerahkan lebih 180 surat rayuan daripada para pengusaha untuk disampaikan kepada Perdana Menteri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast