KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk keluarga mendiang Teoh Beng Hock harus menerima kenyataan kes melibatkan mendiang telah melalui pelbagai peringkat siasatan dan semakan oleh badan-badan penguatkuasaan serta institusi kehakiman negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia termasuk keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun 2014, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011 dan siasatan semula oleh polis yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi pada November 2024.
Paling mutakhir, tambah beliau, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Mei lalu telah mengklasifikasikan kes itu sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) setelah meneliti keseluruhan bukti dan keterangan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Ujarnya, situasi itu jelas menunjukkan proses perundangan dalam kes terbabit telah dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional.
Sehubungan itu, menurutnya, adalah tidak sepatutnya demi memuaskan hati atau kepentingan segelintir pihak, proses perundangan yang telah dilaksanakan dengan baik dinafikan atau dikesampingkan.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak adil kepada pihak yang telah menjalankan tanggungjawab dengan teliti malah boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap sistem keadilan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menzahirkan permohonan maaf kepada keluarga mendiang Beng Hock serta memperbaharui komitmen memperkukuh integriti dan penambahbaikan institusi itu sempena memperingati 16 tahun pemergian mendiang.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun siasatan terkini polis yang diklasifikasikan sebagai NFA oleh AGC tidak menemui bukti mencukupi terhadap mana-mana individu, pihaknya tetap memandang serius insiden berkenaan.
Bagaimanapun, keluarga Beng Hock menolak permohonan maaf itu yang mana media melaporkan, adik perempuan mendiang, Teoh Lee Lan, 45, berkata, permohonan maaf itu tidak menggambarkan keikhlasan.
Sementara itu, Jais mengakui kes kematian di premis SPRM ini merupakan satu insiden yang mengejutkan dan memberi kesan besar kepada banyak pihak.
Namun, tambahnya, ia adalah satu kes terpencil yang berlaku di luar jangkaan, dan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melemahkan institusi pencegahan rasuah negara.
“Komitmen membanteras rasuah mesti diteruskan dengan lebih tegas dan sistematik,” katanya.
Sementara itu, ke arah menambah baik aspek siasatan, beliau menyarankan supaya SPRM menyediakan bilik rakaman bervideo (VIR) untuk soal siasat selain penggunaan kamera badan (Body Worn Camera) ketika operasi.
Selain itu, tambahnya, SPRM turun disarankan memasang kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi di lokasi strategik serta melaksanakan kaedah soal siasat yang beretika dan selamat.
Jelasnya, langkah itu menunjukkan SPRM komited untuk memperbaiki kelemahan serta menjamin keselamatan dan kebajikan individu yang hadir membantu siasatan.
“MCW menyeru rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan kepada SPRM dalam usaha memerangi rasuah tanpa rasa takut atau ragu.
“Kegagalan untuk menyokong agensi seperti SPRM hanya akan membuka ruang kepada pelaku rasuah untuk terus merosakkan negara dari dalam,” katanya. – MalaysiaGazette
















