Sebahagian pengamal undang-undang dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman dari perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Sekumpulan Ahli Parlimen Keadilan menggesa agar proses mengukuhkan kebebasan badan kehakiman diteruskan secara lebih menyeluruh dan konsisten susulan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu lewat malam tadi. 

Dalam kenyataan bersama oleh 10 Ahli Parlimen itu, mereka menyambut baik pelantikan Wan Ahmad Farid bersama Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Namun pada masa menegaskan bahawa pelantikan ini hanyalah permulaan kepada keperluan reformasi lebih mendalam dalam sistem kehakiman.

“Reaksi awam terhadap pelantikan Ketua Hakim Negara bercampur-campur memandangkan latar belakang beliau sebagai bekas ahli politik UMNO selain dianggap lebih ‘junior’ berbanding beberapa hakim kanan sedia ada.

“Wan Ahmad Farid perlu menerima pandangan masyarakat dengan terbuka dan menjadikan keprihatinan itu sebagai dorongan untuk mempertahankan integriti institusi kehakiman mengatasi rekod cemerlang pendahulunya, Tun Tengku Maimun Tuan Mat,” katanya kenyataan itu.

Sambung kenyataan itu, wakil-wakil rakyat PKR itu juga menggariskan lima perkara mendesak yang perlu ditangani segera bagi memastikan kebebasan institusi kehakiman benar-benar terpelihara.

Ini termasuk cadangan mengisi 31 kekosongan jawatan hakim dengan segera bagi mengelakkan gangguan kepada sistem pentadbiran keadilan; menjamin pelantikan berdasarkan merit dan kekananan, bagi memastikan keadilan kepada hakim-hakim yang berkhidmat cemerlang.

Juga mematuhi proses pelantikan di bawah Perlembagaan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC); menolak sebarang campur tangan politik atau luar dalam urusan pelantikan kehakiman; dan tangani isu-isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat JAC terdahulu, termasuk siasatan dakwaan campur tangan terhadap keputusan seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

Mereka turut menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak menganggap isu ini telah selesai hanya kerana pelantikan telah dibuat, sebaliknya meneruskan usaha reformasi dengan membentangkan penambahbaikan sistem secara terbuka kepada rakyat.

Antara cadangan reformasi itu termasuklah menghadkan kuasa Perdana Menteri untuk menolak calon JAC dengan mewajibkan alasan rasmi dikemukakan, melantik secara automatik wakil badan guaman dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak ke dalam JAC bagi mengurangkan dominasi eksekutif dan juga libatkan Parlimen dalam proses pengesahan pencalonan melalui pendengaran terbuka atau pengundian.

“Kami akan terus memainkan peranan sebagai suara dari kalangan Ahli Parlimen backbenchers untuk memastikan proses reformasi kehakiman diteruskan secara berprinsip dan berkesan,” tegas mereka.

Untuk makluman kenyataan ini telah ditandatangi oleh 10 Ahli Keadilan iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), S. Kesavan (Sungai Siput), dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat). -MalaysiaGazette

Profil Ketua Hakim Negara yang baharu

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.