KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan tujuh orang warganegara Afghanistan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kerana menggunakan dokumen palsu.
AKPS dalam kenyataan hari ini berkata, kesemua mereka termasuk dua kanak-kanak ditahan dalam dua kumpulan berasingan.
Katanya, kumpulan pertama tiba di negara pada pagi Ahad lepas manakala kumpulan kedua tiba pada malam Selasa.
Siasatan awal mendapati kesemua individu terbabit yang terdiri daripada lima orang dewasa dan dua kanak-kanak telah menggunakan visa palsu dipercayai diperoleh dari Uzbekistan.

foto AKPS
Katanya, kesemua tahanan mendakwa telah melarikan diri dari Iran sebelum menjadikan Malaysia destinasi akhir.
“AKPS KLIA kemudiannya mengambil tindakan tegas dengan menolak kemasukan kesemua mereka kerana melanggar syarat imigresen dan memalsukan dokumen perjalanan.
“Tindakan pantas dan berkesan ini mencerminkan komitmen berterusan AKPS dalam memastikan kawalan keselamatan sempadan berada pada tahap tertinggi, serta menegaskan bahawa pintu masuk negara tidak akan dikompromi oleh sebarang cubaan migrasi tidak sah,” kata kenyataan itu. -MalaysiaGazette
















