KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Razeef Rakimin menyifatkan adalah lebih baik ahli parti itu memberikan pandangan mahupun kritikan kepada kerajaan daripada mengampu atau memuja.
Ini kerana, kata bekas Ketua Penerangan PKR Sabah itu, rakyat mahu melihat perkembangan penambahbaikan yang dilakukan kerajaan, bukannya sekadar menghambur puji-pujian.
Dalam masa sama, ujar beliau, rakyat juga akan menilai PKR serta Kerajaan Perpaduan sama ada masih di landasan reformasi atau hanya mementingkan kekuasaan.
“Tidak perlu mengeluarkan arahan meminta pimpinan menukar gambar profil kepada gambar Perdana Menteri mahupun post kata-kata manis memuji Perdana Menteri di media sosial.
“Cukuplah meminta Ketua Cabang, Ketua Wanita Cabang dan Ketua AMK Cabang menyampaikan inisiatif dan pencapaian kerajaan kepada akar umbi dan rakyat.
“Sebab yang akan memastikan Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri adalah rakyat, bukan Ketua Cabang…Jadi janganlah kita buat perkara yang geli-geli…,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan kononnya ahli-ahli dan pemimpin PKR diminta membuat hantaran untuk menaikkan imej dan reputasi Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut.
Sementara itu, Razeef berkata, sebagai pemimpin dan anggota parti PKR, sokongan yang diberikan kepada Anwar selaku Presiden parti dan Perdana Menteri untuk memimpin negara sudah semestinya tidak berbelah bahagi.
“Bukan sahaja dasar malah hubungan dengan negara luar juga perlu diambil kira dan setakat ini di negara (ini) tidak ada yang lebih baik berbanding Anwar Ibrahim,” katanya. – MalaysiaGazette
















