MELAKA – Seorang pengasuh taska yang dikaitkan dengan kes kematian bayi lelaki berusia enam bulan petang Rabu lalu, direman selama dua hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini.
Perintah reman wanita bujang berusia 26 tahun itu dikeluarkan Majistret N. Sivashangari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang menggariskan kesalahan membabitkan pengabaian, pendedahan, atau penganiayaan terhadap kanak-kanak.
Terdahulu suspek beralamat di Alai, di sini yang bertudung labuh tiba di mahkamah dengan diiringi pegawai polis kira-kira pukul 9 pagi.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/07/17/bayi-ditemukan-lemas-tertiarap-atas-tilam-di-taska/
MalaysiaGazette semalam melaporkan kejadian tragis menimpa bayi berkenaan yang dipercayai lemas dalam keadaan tertiarap dan badannya dibedung di atas tilam taska berkenaan.
Kejadian kira-kira jam 5 petang semalam disedari pengasuh taska tersebut selepas menidurkan bayi berkenaan sejam sebelum itu.
Menurut sumber, bagaimanapun ketika hendak memantau keadaan bayi pada jam 5 petang, pengasuh yang menjaganya secara bergilir dengan pengasuh lain mendapati bayi tersebut dalam keadaan tertiarap dan mukanya kebiru-biruan.
Hasil pemeriksaan ke atas badan bayi berkenaaan mendapati tiada sebarang kesan perbuatan jenayah sebelum pihak hospital membuat laporan polis.
Susulan itu, sepasukan polis daripada Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek kira-kira 12.10 tengah hari semalam. – MalaysiaGazette















