KUALA LUMPUR – Desakan Ketua-ketua UMNO bahagian supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak wajar dan boleh mewujudkan ketidakstabilan politik.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, situasi itu sesuatu yang malang ketika situasi politik negara berada dalam keadaan stabil disamping kerajaan juga sedang ekonomi ke arah pengukuhan.
Dalam masa sama, menurut bekas Naib Ketua AMK Nasional berkenaan, gesaan itu juga ibarat mendesak Perdana Menteri mencampuri urusan mahkamah kerana kewujudan titah adendum tersebut masih dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.
“Perdana Menteri tidak seharusnya didesak untuk melaksanakan titah adendum itu kerana pendirian kerajaan jelas dalam memisahkan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman.
“Sama ada titah adendum itu wujud secara berpelembagaan atau tidak, semua pihak wajar menunggu sehingga keputusan akhir Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, seramai 160 Ketua UMNO bahagian mendesak Anwar mengambil tanggungjawab penuh untuk melaksanakan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dikeluarkan 4 Januari lalu melibatkan Najib.
Jurucakapnya, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata, Perdana Menteri perlu membenarkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah.
Sementara itu, Syed Badli Shah yakin sebaik sahaja mahkamah membuat keputusan berkenaan titah adendum tersebut, kerajaan akan bertindak sewajarnya berdasarkan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau meminta kepimpinan UMNO untuk memainkan peranan meredakan desakan terbabit bagi mengelakkan sebarang ketidakstabilan politik yang boleh berlaku. – MalaysiaGazette
















