Peguam, Siti Zabedah Kasim hadir bagi keputusan kes saman terhadap JAWI dan 22 pihak lain berhubung tangkapan secara salah yang dibuat terhadapnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Peguam Siti Kasim mendapat ganti rugi berjumlah RM160,000 selepas Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan samannya terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan 22 pihak lain kerana penangkapan salah dan penahanan secara tidak sah, sembilan tahun lalu.

Penahanan terhadap beliau atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim dilakukan ketika serbuan pada majlis makan malam kutipan derma di sebuah hotel pada 2016.

Hakim Su Tiang Joo membenarkan ganti rugi am RM60,000 dan ganti rugi teladan sebanyak RM100,000 dibayar kepada aktivis itu serta kos RM100,000.

Ketika menyampaikan keputusan itu, hakim berkenaan berpuas hati bahawa Siti Kasim (plaintif) berjaya membuktikan melalui imbangan kebarangkalian bahawa dia telah ditahan secara salah sebelum dibawa ke Balai Polis Daerah Dang Wangi.

“Mahkamah turut berpuas hati wujud salah laku penjawat awam ketika melaksanakan serbuan terhadap peserta pertandingan ratu cantik `maknyah’ dalam dewan berkenaan sehingga menimbulkan ketidakselesaan terhadap mereka.

“Saya setuju plaintif selaku peguam dalam melaksanakan tugas profesionalnya telah cuba sedaya upaya berbincang dengan pasukan penguatkuasa bagi mengelak penahanan salah,” ujar hakim berkenaan.

Pada prosiding itu, peguam A. Saha Deva mewakili Siti Kasim manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Irmawatie Daud mewakili defendan.

Siti Kasim memfailkan saman pada September 2019 bagi mencabar tindakan Jawi yang didakwa menangkap secara salah dan mengurungnya secara tidak sah berikutan serbuan di sebuah hotel pada 3 April 2016.

Menurut pernyataan tuntutan, peguam yang juga aktivis itu mendakwa dia dikenakan penahanan salah antara 10.30 malam pada 3 April 2016 dan 2.30 pagi pada 4 April 2016.

Beliau mendakwa bahawa tindakan agensi penguat kuasa agama itu adalah sama dengan pemenjaraan palsu, salah guna jawatan awam dan penafian hak perlembagaannya untuk kebebasan peribadi.

Siti Kasim mendakwa beliau hanya menjalankan tugas sebagai peguam semasa serbuan itu dan tidak menghalang pegawai Jawi menjalankan tugas atau melakukan sebarang kesalahan.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa Jawi tidak mempunyai bidang kuasa atau kuasa penyiasatan ke atas kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Menurut Siti Kasim lagi, semua defendan yang menahannya hanya mempunyai bidang tugas dan kuasa untuk menyiasat kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Beliau mendakwa, dia mengalami kejutan, terseksa jiwa, penderitaan dan penghinaan akibat daripada penahanan tersebut.

Pada 21 Ogos 2020, Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan Siti Kasim atas pertuduhan menghalang pegawai awam menjalankan tugas semasa acara di hotel itu.

Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Siti Kasim terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan pada akhir kes pendakwaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast