Pemandu lori berusia 25 tahun bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

NIBONG TEBAL – Seorang pemandu lori warga Indonesia cedera selepas kenderaan dipandunya yang sarat dengan muatan batu terbabas di tapak kuari Jalan Lima Kongsi 5, Sungai Bakap di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, lori jenis ‘tipper’ tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar longgokan batu di kawasan berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.04 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba kita dapati sebuah lori membawa muatan batu telah terbabas dan melanggar timbunan batu di kawasan kuari.

“Pemandu lori berusia 25 tahun bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Zon Kuning di sebuah hospital di kawasan ini,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya kemudian menjalankan pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada sebarang risiko bahaya lain sebelum menyerahkan kes kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast