KUALA LUMPUR – Tindakan Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang mengadakan himpunan membantah pelantikan Duta Amerika Syarikat (AS) mengundang kritikan daripada kepimpinan Perikatan Nasional (PN).
PN menyifatkannya ia bukti mentaliti pembangkang masih menebal dalam kalangan pemimpin muda kerajaan.
Justeru Ketua Pemuda Kebangsaan Parti Makkal Indian Party (MIPP) merangkap Timbalan Ketua Pemuda PN, Justin Prabakaran berkata, Pemuda PH kini adalah sebahagian daripada kerajaan.
Sekiranya wujud ketidakpuasan hati terhadap dasar luar atau mana-mana lantikan duta, mereka seharusnya menggunakan saluran rasmi seperti perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa isu ke Kabinet atau membentangkannya di Parlimen.
“Bukan kembali ke jalanan seolah-olah masih pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justin menyifatkan tindakan tersebut sebagai sandiwara politik yang membuang masa dan tidak mencerminkan kematangan sebuah kerajaan.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan motif sebenar penganjuran protes tersebut dan mencadangkan ia dilakukan hanya untuk mencipta persepsi dan kelihatan relevan di mata rakyat.
Mengulas lanjut, beliau mencabar Pemuda PH untuk turut serta dalam himpunan rakyat anjuran pembangkang yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini yang menurutnya bakal menghimpunkan suara sebenar rakyat menuntut perubahan yang gagal ditunaikan oleh kerajaan pimpinan PH.
“Jika benar berani dan mahu berhimpun, turunlah bersama rakyat pada 26 Julai ini. Himpunan itu menuntut reformasi sebenar yang kerajaan sendiri gagal laksanakan.
“Ingatlah, rakyat hari ini menuntut sebuah kerajaan yang berfungsi, bukan aksi jalanan yang hanya menonjolkan kegagalan memahami tanggungjawab sebagai pihak yang memegang kuasa,” tegasnya. – MalaysiaGazette















