KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan pengeluaran sektor perikanan Malaysia mencecah 1.91 juta tan metrik pada 2024, naik 7.1 peratus berbanding 1.79 juta tan metrik pada tahun sebelumnya.
Jabatan Perikanan Malaysia berkata, sektor tersebut terus menjadi antara penyumbang utama kepada sumber protein negara selain menyumbang RM11.8 bilion atau 0.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan kadar pertumbuhan tahunan meningkat kepada 2.9 peratus.
Dari aspek perdagangan antarabangsa katanya, nilai eksport hasil perikanan Malaysia berjumlah RM4.02 bilion, manakala import mencecah RM6.35 bilion.
Ini menunjukkan Malaysia kekal sebagai pemain aktif dalam pasaran perikanan serantau dan global.
Negara-negara utama destinasi eksport termasuk China, Vietnam dan Thailand, dengan produk utama terdiri daripada hasil segar, disejukkan dan sejuk beku mengikut keperluan pasaran masing-masing.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, sektor perikanan negara pada 2024 terus menunjukkan daya tahan dan prestasi yang stabil.
Ia juga memberi sumbangan signifikan kepada sekuriti makanan negara, pembangunan ekonomi pesisir pantai serta kesejahteraan rakyat.
“Seiring dengan itu, Jabatan Perikanan Malaysia melaksanakan Dasar Agro Makanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) dengan penekanan khusus pada sekuriti makanan dan nutrisi secara menyeluruh.
“Ia juga akan memperkukuh kerjasama strategik bersama institut pengajian tinggi, sektor swasta dan kumpulan sasar bagi memastikan kelangsungan sumber perikanan negara secara lestari untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, sektor perikanan negara turut melibatkan penyertaan tenaga kerja yang besar, termasuk kira-kira 106,000 orang nelayan dan 16,873 pengusaha akuakultur aktif di seluruh Malaysia.
Jumlah vesel penangkapan ikan bagaimanapun menurun kepada 43,000 unit, dengan penurunan terbesar dicatatkan di negeri Sabah. -MalaysiaGazette
















