KUALA LUMPUR – Sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak memberikan sebarang respons apabila ada pihak yang mencadangan agar menukar presiden partinya dilihat sebagai gentleman.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan berpendapat, Muhyiddin lebih terbuka dan menerima setiap usul memperlihatkan wujud demokrasi dalam di dalam dirinya.
“Saya ambil contoh, cadangan untuk Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah diangkat sebagai timbalan presiden parti itu pada pemilihan yang sedang berlangsung.
“Selepas itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberikan kenyataan akan terus kekal sebagai Presiden Pas hingga ke akhir hayat, ini sangat berbeza dengan Muhyiddin,” katanya kepada MalaysiaGzette.
Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG dengan tajuk ‘Kepimpinan BERSATU, Jika Bukan Muhyiddin Siapa Layak?’ yang dipancarkan secara langsung di semua platform media sosial MalaysiaGazette malam tadi.
Azmi berkata, sikap Muhyiddin itu bukti pengalaman dan kematangan beliau dalam politik jelas sangat jauh berbeza.
“Saya juga melihat perubahan perlu dilakukan dalam parti ini kerana sejak enam ke tujuh bulan ini, kepimpinan tertinggi tidak mampu membawa Bersatu untuk bergerak lebih jauh.
“Inilah yang saya katakan tepu dan mereka tidak berganjak mungkin berpunca daripada masalah kesihatan atau isu mahkamah.
“Dengan masalah ini kita lihat Presiden tidak mampu membawa Bersatu untuk menjadi lebih kuat lagi,” katanya lagi.
Jelas Azmi lagi, sudah tiba masa Bersatu perlu menerima hakikat untuk melakukan perubahan demi memastikan parti itu akan terus kekal relevan.

Dalam pada itu, Azmi turut menambah, keperluan pertukaran kepimpinan juga adalah bagi memastikan kelangsungan dan penerimaan lebih luas terutamanya dalam kalangan komuniti bukan Melayu.
“Langkah ini dilihat lebih strategik demi masa depan parti itu meskipun Muhyiddin telah memberikan sumbangan besar kepada parti sejak penubuhannya.
“Kita bercakap dari sudut imej dan naratif yang melekat pada kepimpinan semasa dan ini mungkin menjadi penghalang untuk menarik segmen pengundi yang lebih pelbagai,” katanya.
Jelas Azmi lagi, sokongan daripada bukan Melayu walaupun bukan majoriti adalah penting untuk mana-mana parti yang ingin menjadi parti arus perdana dan membentuk kerajaan stabil.
“Bersatu perlu menunjukkan wajah yang lebih inklusif dan sederhana agar tidak terperangkap dalam label parti yang hanya memperjuangkan satu kaum semata-mata terutamanya dalam konteks Malaysia berbilang bangsa.
“Pemimpin baharu Bersatu, jika ada, perlu mampu memprojeksikan imej yang lebih diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat, membina jambatan komunikasi dengan komuniti bukan Melayu serta menyampaikan naratif yang melangkaui isu perkauman atau keagamaan sempit.
“Ini penting untuk membuktikan komitmen parti terhadap prinsip kemajmukan,” ujarnya
Baru-baru ini, timbul gesaan daripada beberapa akar umbi Bersatu yang mahukan parti itu mengambil pendekatan menukar presiden kepada yang lebih segar. – MalaysiaGazette
















