Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Istiqlal, Presint 14, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia melakukan perjumpaan dan perbincangan dengan semua pimpinan termasuk ketua-ketua bahagian UMNO dalam isu pelaksanaan titah adendum.

Beliau berkata, hasrat itu sudah disampaikan kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO sebelum ini dan Perdana Menteri sedia memberikan penjelasan berhubung kemelut berkenaan sekiranya diperlukan.

“Saya telah beritahu kepada Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO dan pimpinan UMNO bahawa saya sedia untuk mengadakan perbincangan dengan mereka.

“Saya sedia memberi penjelasan sekiranya perlu atau melakukan apa-apa yang baik untuk menjaga keharmonian,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Istiqlal, Presint 14 di sini hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seramai 160 ketua bahagian UMNO dari seluruh negara termasuk mendesak Perdana Menteri mengambil tanggungjawab penuh untuk melaksanakan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dianugerahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jurucakapnya, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata, Perdana Menteri perlu membenarkan Perdana Menteri keenam itu menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah tanpa sebarang alasan untuk melenggahkannya.

Tuntutan dua pertiga kepimpinan bahagian UMNO dari seluruh itu dibuat selepas mereka melakukan perjumpaan dan perbincangan tertutup di Hotel Royale Chulan, Bukit Bintang di sini malam semalam.

Selain itu, mereka juga menggesa semua bahagian UMNO di seluruh negara yang belum bersidang membawa usul khas mengenai isu titah adendum dalam persidangan kawasan masing-masing.

Manakala tuntutan ketiga pula ialah mendesak Peguam Negara menarik balik permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Januari 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast