KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah tidak perlu mencanang tentang pembangunan yang dibawa di negeri itu dan menyifatkan ‘parti yang membina tidak perlu membuktikan dengan kata-kata’.
Sebaliknya, Setiausaha Penerangan UMNO Sabah, Rahia Arpaih berkata, rekod dan sejarah pembangunan UMNO dan BN di negeri itu sudah mencukupi untuk membuktikan segala jasa yang pernah dibawa parti tersebut.
Malah realiti hari ini juga membuktikan UMNO dan BN Sabah terus turun padang dalam menyantuni penduduk tanpa perlu menunggu musim pilihan raya umum.
“Tambahan pula, hubungan yang stabil dan baik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah faktor penting yang dapat mempercepat serta memperluaskan pembangunan di kawasan luar bandar seperti Kinabatangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rahia yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kinabatangan, pendekatan UMNO itu berbeza dengan pendekatan politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang lebih mementingkan persepsi dan publisiti daripada penyelesaian sebenar.
“Apa yang tinggal hanyalah pengumuman demi pengumuman yang sedap didengar, ibarat bertelur sebiji, riuh sekampung tetapi tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat di perkampungan.
“Rakyat Kinabatangan sudah matang menilai. Mereka tahu beza antara parti yang baru muncul dan parti yang kekal bertahan ketika rakyat memerlukan pertolongan,” katanya.
Menjawab kepada sindirian segelintir pihak terhadap konsep `keluarga angkat’ yang diamalkan UMNO di Sabah, Rahia berkata, bantuan sedemikian merupakan cerminan budaya UMNO dan BN yang telah berakar sejak puluhan tahun lamanya.
Tegas beliau, ia adalah satu bentuk solidariti praktikal bukan mainan politik dan bukan rekaan baharu yang muncul kerana PRN tetapi warisan nilai yang dibina atas dasar kasih sayang dan keprihatinan kepada rakyat.
“Dalam politik, ada dua jenis pemimpin iaitu yang muncul kerana agenda dan yang kekal kerana amanah.
“UMNO BN tergolong dalam kelompok kedua iaitu parti yang tidak menunggu musim pilihan raya untuk menunjukkan wajah, kerana wajah kami sudah sedia bersama rakyat sejak dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette
















