KUALA LUMPUR – Badan Peguam Malaysia menyifatkan Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mempunyai kefahaman mendalam terhadap peranan suci badan kehakiman untuk menegakkan kedaulatan undang-undang.
Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan pendirian tegas beliau dalam kes berprofil tinggi melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiga tahun lalu.
Ujarnya, Wan Ahmad Farid yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi bertindak menarik diri daripada mendengar permohonan kemasukan Queen’s Counsel (QC), Jonathan Laidlaw dalam perbicaraan SRC International membabitkan Najib.
Pada 16 Jun 2022, media melaporkan beliau mengambil keputusan demikian bagi mengelakkan kesangsian persepsi awam terhadap kebebasan badan kehakiman kerana salah seorang ahli keluarganya terbabit secara aktif dalam parti Umno.
Pada prosiding tersebut, Wan Ahmad Farid turut berkata, umum mengetahui sebelum dilantik sebagai Ahli Parlimen, beliau adalah ahli politik yang aktif dan pada suatu ketika pernah menjadi ahli pentadbiran dan Ahli Dewan Negara.
Katanya, ketika menyertai badan kehakiman, beliau telah meletak jawatan daripada parti politik yang pernah disertai dan selepas mengangkat sumpah sebagai anggota badan kehakiman, satu-satunya tugasnya ialah memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan tanpa rasa gentar atau pilih kasih.
“Bagaimanapun, saya perlu menyatakan di sini bahawa salah seorang ahli keluarga terdekat saya adalah ahli politik yang sangat aktif sebagai ketua bahagian dalam parti politik yang sama dengan perayu (Najib).
Mohamad Ezri kemudian memetik kata-kata hakim berkenaan: “Badan kehakiman yang bebas adalah hadiah berharga kepada mana-mana masyarakat. Apabila ia hilang, anarki memerintah.”
“Dalam membuat keputusan menarik diri, Wan Ahmad Farid menyatakan beberapa pandangan penting berhubung kepercayaan awam terhadap badan kehakiman antaranya menegaskan bahawa tanggapan awam terhadap kebebasan badan kehakiman tidak seharusnya diragui,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.
Lewat malam semalam, Wan Ahmad Farid yang juga Hakim Mahkamah Rayuan diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib, awal bulan ini.

Badan Peguam turut melahirkan rasa lega dengan kepimpinan baharu jawatan tertinggi kehakiman dan berharap mereka mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi dalam menegakkan piawaian kebebasan tertinggi dan berintegriti untuk negara.
Ujarnya, badan itu juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada yang dilantik dan berharap mereka dapat menerajui badan kehakiman negara dengan penuh wibawa, keberanian serta komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap keadilan.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada beliau dalam menerajui badan kehakiman dengan penuh kewibawaan, keberanian, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap keadilan,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Badan Peguam turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Menerusi kenyataan yang sama, Majlis Peguam turut menekankan kepentingan mengisi kekosongan jawatan penting yang lain membabitkan badan kehakiman.
“Walaupun pelantikan ini amat dialu-alukan setelah berbulan-bulan berada dalam ketidaktentuan, penantian, dan spekulasi yang tidak perlu, masih terdapat banyak kekosongan jawatan penting, baik yang sedang berlaku mahupun yang bakal berlaku di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
“Majlis Peguam tetap berharap supaya semua kekosongan ini diisi dengan segera dan secara telus demi memperkukuhkan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman serta mempertingkatkan pentadbiran keadilan di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette














