KUANTAN – Seorang warga emas mengaku bersalah mengemukakan sijil kelahiran dan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara bagi permohonan MyKad seorang kanak-kanak tahun 2012 lalu.
Abdah Said, 65, membuat pengakuan bersalah menggunakan sijil kelahiran anaknya dan mengemukan dokumen palsu itu di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Mahkamah Majistret 2 di Kuantan, hari ini.
Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Muhammad Yusaini Yunan dan dibantu Burhanuddin Hamzah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Bapa tiga orang anak itu dalam rayuan memohon hukuman denda dan pengurangan memandangan tidak bekerja.
Majistret kemudian memutuskan tertuduh didenda RM6,000 bagi hukuman kesalahan itu dan jika gagal boleh dipenjara 10 bulan.
Mengikut fakta pertuduhan kes, tertuduh telah memberikan maklumat yang palsu dalam butir material semasa membuat permohonan kad pengenalan 12 tahun untuk seorang kanak-kanak dengan menggunakan sijil kelahiran bernombor AR 39371 atas nama Nor Zimah.
Beliau dituduh melalkukan kesalahan itu pada 28 September 2012, jam 9.49 pagi bertempat di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Pahang, di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette
















