KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pihak termasuk Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan disifatkan tidak bertanggungjawab dan membelakangi prinsip demokrasi berparlimen.
Timbalan Bendahari Wanita Keadilan Pusat, J. Karen Kasturi, trend menjatuhkan Perdana Menteri dalam tempoh singkat hanya akan mengulang kegagalan lampau dan memberi kesan langsung kepada kestabilan negara serta kebajikan rakyat.
“Adakah setiap Perdana Menteri perlu dijatuhkan hanya kerana perubahan tidak berlaku mengikut kehendak pembangkang dalam masa singkat?
”Ini bukan amalan demokrasi yang sihat malah bercanggah dengan budaya reformasi yang kita perjuangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Karen, kerajaan sedang menjalankan pelbagai inisiatif pembaharuan termasuk reformasi institusi kehakiman, pemantapan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC), penambahbaikan sistem perolehan dan penyampaian bantuan rakyat selain memperkasa peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau juga menafikan dakwaan komuniti India tidak diwakili di Parlimen sedangkan mandat berkenaan dibawa oleh Gobind Sing Deo dengan berkesan.
“Malaysia Madani bukan tentang simbol semata-mata. Ia bukan bermaksud hanya menteri India boleh membela masyarakat India atau hanya menteri wanita menjaga isu wanita. Apa yang penting ialah prinsip inklusif, integriti dan tanggungjawab bersama,” tegasnya.
Karen turut mempersoalkan sumbangan sebenar pihak-pihak yang menggesa Perdana Menteri meletak jawatan terhadap pembangunan komuniti India.
“Saya ingin tanya kepada MIPP selain desakan kosong ini, apakah cadangan konkrit yang pernah anda bentangkan untuk membela masyarakat India? Rakyat tidak mahu slogan, rakyat mahu solusi,” katanya lagi.
Karen juga memberi peringatan tiga Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, semuanya tidak mampu bertahan lebih dua tahun dan iz jelas memberi kesan buruk kepada kesinambungan dasar dan keyakinan pelabur.
“Setiap kali kerajaan bertukar dalam masa singkat, dasar tergendala, keyakinan pelabur tergugat dan rakyat menjadi mangsa. Kita tak boleh ulang kesilapan sama,” ujarnya.
Beliau menyeru agar semua pihak menghormati tempoh pentadbiran semasa dan menunggu sehingga tamat penggal untuk menyerahkan semula mandat kepada rakyat secara demokratik.
“Kalau benar mahu berkuasa, tunggulah pilihan raya. Biar rakyat yang tentukan. Jangan korbankan kestabilan negara semata-mata kerana ghairah mahu berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette















