PUTRAJAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) maklum mengenai gangguan teknikal pada sistem autogate yang memberi perkhidmatan kepada pelawat asing di pintu-pintu masuk utama negara sejak semalam.
Gangguan telah menyebabkan kesesakan dan barisan menunggu yang panjang di beberapa lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.
“Siasatan awal mendapati isu itu berpunca daripada gangguan integrasi data yang menyebabkan proses semakan silang dalam sistem MyIMMS menjadi perlahan.
“Kesannya, sistem autogate yang digunakan oleh pelawat asing tidak dapat berfungsi buat masa ini,” kata kenyataan AKPS hari ini.
AKPS menegaskan, sistem autogate bagi pemegang pasport Malaysia tidak terjejas dan masih berfungsi seperti biasa.
“Bagi menangani isu kesesakan, langkah-langkah segera telah diambil. AKPS dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang bekerjasama rapat untuk mengenal pasti punca sebenar masalah dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.
“Semua kaunter manual telah diaktifkan sepenuhnya dan anggota tambahan telah dikerahkan untuk menguruskan aliran keluar masuk pelawat serta mengawal barisan menunggu dengan kapasiti terbaik,” kata kenyataan yang sama.
Menurutnya, AKPS sedang berusaha sedaya upaya untuk memulihkan sistem dan melancarkan semula pergerakan di semua pintu masuk negara. – MalaysiaGazette
















