SHAH ALAM – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir tampil melontarkan kritikan tajam terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menyifatkan pentadbiran kerajaan Madani sebagai gagal dan penuh pengkhianatan terhadap mandat rakyat.
Berucap ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pejuang di Shah Alam, Mukhriz mendakwa segala janji yang ditaburkan oleh Pakatan Harapan ketika kempen pilihan raya lalu telah dimungkiri.
Katanya, rakyat dijanjikan penurunan harga barang dan minyak, reformasi institusi serta pembanterasan rasuah namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Dijanji harga barang turun, tapi makin naik. Dijanji tiada campur tangan dalam badan kehakiman, tetapi berlaku juga. Dijanji lawan kronisme, tetapi kontrak diberi kepada orang sendiri,” katanya di hadapan ratusan perwakilan dan pemimpin jemputan.

Mukhriz turut membidas cubaan Anwar untuk mendapatkan kekebalan undang-undang yang disifatkannya sebagai tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.
“Belum pernah mana-mana Perdana Menteri meminta imuniti daripada tindakan mahkamah. Raja-raja Melayu pun tidak minta keistimewaan sebegitu. Ini sangat parah,” katanya.
Beliau turut menyentuh isu Palestin dan mendakwa kerajaan Malaysia kini telah berubah pendirian apabila menyokong penyelesaian dua negara (Two-State Solution), seperti yang disebut Anwar dalam sidang media bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron.
“Selepas lebih 60,000 rakyat Palestin dibunuh oleh Israel, apakah masih relevan untuk kita mengiktiraf hak negara Zionis itu? Kita juga kekal membela syarikat seperti BlackRock yang ada kaitan dengan kekejaman itu,” tegas beliau.
Mukhriz mengumumkan bahawa Pejuang akan menyertai perhimpunan ‘Turunkan Anwar’ pada 26 Julai ini di Dataran Merdeka sebagai manifestasi penolakan rakyat terhadap pentadbiran sedia ada.
“Rakyat semakin sedar, ‘all is not well in Malaysia’, kami tidak akan berdiam diri. Kita mesti bertindak sebelum negara terus rosak akibat pentadbiran yang gagal ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















mang semua kerajaan gagal kecuali kerajaan BN. Jadi apa masalahnya. kau berjaya sangat ke? Kerajaan kamu dapat Gred
Penilian F. Hanya dapat sijil penyamun dan penyakau