Kereta yang ditenggelamkan oleh pempengaruh Ija
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan pempengaruh yang dikenali sebagai ‘Ija’ atau nama sebenarnya Tengku Nizaruddin Tengku Zainuddin tidak hilang sebaliknya melarikan diri ke luar negara.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, Johor sebelum melarikan diri ke negara jiran.
Menurut beliau, laporan kehilangan yang dibuat adiknya, Tengku Abd Aziz, pada 15 Julai lalu dipercayai bertujuan mengaburi pihak berkuasa.
“Laporan yang dibuat di Balai Polis Lenga itu membawa kepada pelancaran operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Namun, siasatan mendapati terdapat unsur penipuan dalam laporan tersebut, dan adik mangsa mengaku bersubahat serta sengaja berpura-pura menjalankan usaha pencarian bagi mengelirukan polis,” katanya hari ini.
Jelas beliau, kedua-dua individu iaitu adik dan Ija telah diambil keterangan dan siasatan lanjut akan diteruskan selepas pihak polis memperoleh kebenaran menyiasat (OTI) dari pihak Timbalan Pendakwa Raya.
Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam serta Seksyen 109 kerana bersubahat melakukan kesalahan.
Jika disabitkan, mereka boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Tegas beliau, tindakan membuat laporan palsu adalah kesalahan serius yang boleh menjejaskan sumber dan keutamaan tugasan pihak berkuasa.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast