BATU KAWAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kestabilan negara hanya dapat dikekalkan jika semua pihak menghormati prinsip demokrasi dan tidak terikut dengan sentimen kebencian.
Tegasnya, asas kepada hala tuju negara adalah perpaduan serta pembangunan yang inklusif, khususnya dalam menangani isu kemiskinan, perumahan dan kos sara hidup.
“Perpaduan ini bukan sekadar soal politik, tetapi kekuatan sebagai satu bangsa untuk terus membantu kerajaan memajukan negara ini.
“Kalau pilih nak selamatkan negara ini, kita mesti jaga perpaduan negara kita. Ini kekuatan kita.
“Kedua, apa hebatnya Malaysia? Memang Melayu Islam, bumiputera majoriti tapi kena santuni semua termasuk orang Cina, India, Iban, Kadazan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Stadium Negeri di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan sebarang pertukaran kerajaan mestilah melalui proses demokrasi dan bukannya dengan cara menunjuk perasaan mendesak Perdana Menteri meletak jawatan.
“Jangan anggap ini semua mudah, tidak. Membangun itu mengambil waktu, merobohkan itu senang sekali. Saya percaya usaha-usaha orang yang khianat dan dengki itu ada.
“Siapa kata tidak boleh tukar kerajaan? Boleh, Speaker Tan Sri (Johari Abdul) sebut bawa usul di Parlimen, hilang sokongan kepada Perdana Menteri dan bawalah usul ke Parlimen tapi mereka tak boleh, sebab apa? Tidak ada sokongan jadi tunggu pilihan raya.
“Jadi ingat, dengan tunjuk perasaan Perdana Menteri boleh letak jawatan? Saya tak mahu halang kerana kita negara demokrasi tetapi atas alasan apa? Ini dibicara di mana-mana, termasuk kadang-kadang orang yang berjubah, ustaz. Tidak semua, ada yang baik,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan Himpunan Turun Anwar dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai ini. – MalaysiaGazette
















