Anwar (tengah) pada Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Pembangunan Rumah Bakat Madani SkyWorld Pearlmont di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap projek perumahan baharu yang dibangunkan pada masa kini perlu dilengkapi dengan kemudahan asas seperti sekolah, prasekolah serta taska.

Katanya, pendekatan tersebut memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya ibu bapa yang bekerja dan tidak perlu bersusah payah menghantar anak ke sekolah atau prasekolah yang jauh dari kawasan kediaman.

“Nak bina rumah, ia mesti komprehensif dengan kemudahan dan infrastruktur seperti sekolah dan taska. Bila rumah di atas, taska di bawah jadi ibu bapa tidak bimbang soal keselamatan anak, tidak bimbang soal kos pengangkutan juga,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap di Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Pembangunan Rumah Bakat Madani SkyWorld Pearlmont di Jalan Todak di sini hari ini.

Anwar.

Tambah Anwar, kerajaan tidak akan meluluskan sebarang projek perumahan jika pembangunannya tidak mengambil kira keperluan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Bagaimanapun, katanya, bagi kawasan yang mempunyai kekangan keluasan tanah, kerajaan bersedia meluluskan pembinaan sekolah secara menegak (vertical school) tetapi tetap lengkap dengan semua kemudahan seperti padang, makmal dan sebagainya.

“Semua rumah di Kuala Lumpur saya syaratkan mesti begini dan kita tidak akan luluskan projek tersebut jika tiada kemudahan yang dinyatakan.

“Kalau tak cukup tanah buat sekolah, buat vertical school yang juga lengkap dengan padang, makmal dan sebagainya. Kalau buat rumah tapi sekolah jauh, buat apa?” soalnya.

Beliau turut menegaskan kerajaan kini lebih cenderung menyerahkan pelaksanaan projek secara menyeluruh kepada pihak pemaju berbanding kaedah tender berasingan bagi mengelakkan kelewatan dan ketirisan.

“Akan jauh lebih murah kalau kita serah kepada pemaju. Kalau tidak, perlu buat tender lain lagi untuk bina sekolah, lepas itu nanti delay (lewat) pula.

“Ada sekolah sukan di Perlis saya lawat beberapa bulan lalu kerana lebih 11 tahun belum siap. Jadi saya buat keputusan batal projek itu dan minta syarikat besar jalankan dan siapkan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast