Huan Cheng Guan

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan menegaskan rakyat tidak berminat dengan pertemuan politik antara Perdana Menteri dan pemimpin UMNO, sebaliknya hanya mahu kerajaan melaksanakan Titah Addendum yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan kewujudan titah tersebut serta pengakuan rasmi Peguam Negara sudah cukup menjadi asas untuk kerajaan bertindak tanpa sebarang alasan lagi.

“Tidak payah buang masa jumpa. Apa mahu ‘kelentong’ dan sorok lagi? Laksanakan titah Adendum yang sudah dititahkan untuk Datuk Seri Najib Razak dengan segera,” katanya.

Cheng Guan turut mempersoalkan keperluan untuk perbincangan lanjut antara kerajaan dan pimpinan UMNO, sedangkan fakta undang-undang sudah jelas dan berpihak kepada pelaksanaan titah tersebut.

“Yang penting laksanakan titah tersebut. Mengapa susah sangat hendak laksana titah itu,” ujarnya.

Tambahnya, permohonan ‘gag order’ oleh Peguam Negara terhadap titah tersebut menunjukkan pengesahan sahih kewujudannya dan kerajaan tidak boleh lagi berdolak-dalik atau mempolitikkan perkara itu.

PCM menegaskan bahawa isu ini bukan soal individu atau politik, tetapi soal keadilan dan menghormati institusi diraja serta sistem kehakiman yang telah membuat pengesahan sah terhadap titah adendum berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast