SEBERANG JAYA – Rumah Bakat Madani yang dilancarkan hari ini mencatat sejarah sebagai projek perumahan mampu milik terbesar di negara ini dengan pembinaan 37,368 unit kediaman di Seberang Jaya dan Batu Kawan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek yang dilaksanakan syarikat SkyWorld itu mencerminkan komitmen Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyediakan kediaman berkualiti kepada rakyat.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan menetapkan sasaran 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2025 dan sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 492,360 unit telah disediakan iaitu 98.5 peratus.
“Daripada jumlah itu, 179,769 unit telah siap dibina, 235,862 unit sedang dibina dan 76,729 unit dalam perancangan. Dengan pelancaran Rumah Bakat Madani, sasaran ini dilihat pasti menjadi kenyataan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah projek berkenaan di Jalan Todak di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri dan turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Rumah Bakat Madani menawarkan unit kondominium bersaiz 900 kaki persegi pada harga bermula RM225,000 hingga RM420,000, berstatus pegangan kekal dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, surau, tadika, dewan serbaguna serta dua tarikan utama iaitu Central Parkdan Vertical School.
Kor Ming berkata, projek turut menjadi yang pertama di negara ini menggunakan teknologi IBS 3D atau Prefabricated Prefinished Volumetric Construction (PPVC), yang menyerupai konsep pemasangan LEGO.
“Saya juga berbangga kerana Rumah Bakat Madani ini merupakan projek pertama di Malaysia dibina menggunakan teknologi IBS 3D atau dikenali sebagai PPVC di mana unit modular dibina sepenuhnya di kilang termasuk pemasangan jubin, kelengkapan tandas, pendawaian elektrik, tingkap, pintu dan kerja mengecat.
“Ia kemudian dihantar ke tapak dan dipasang secara menyeluruh, sekali gus memendekkan tempoh pembinaan serta meningkatkan mutu kerja berbanding kaedah konvensional,” katanya. – MalaysiaGazette
















