KUALA LUMPUR – Satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan terhadap kebocoran kandungan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), demikian menurut ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata, siasatan ini wajar kerana ia merupakan dakwaan amat serius mengenai integriti seorang hakim yang terkandung di dalam dokumen tersebut.
“Tindakan segera perlu diambil, jangan buru orang yang mendedahkan minit itu sahaja, siasat juga kandungan minit itu.
“Don’t kill the messenger,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Saiful turut menyeru agar siasatan difokuskan kepada kebenaran di sebalik dakwaan itu sendiri.
“Ini demi mengelakkan rakyat mempersoalkan kelayakan hakim tersebut untuk terus berkhidmat,” katanya.
Sementara itu, Wan Saiful turut merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh atas pelantikan sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.
“Saya bersetuju dengan pandangan bahawa jawatan-jawatan politik yang Wan Ahmad Farid pegang sebelum ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelantikan ini.
“Tidak ada masalah sebab itu jawatan dahulu dan beliau telah lama bersara dari politik,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara. -MalaysiaGazette
















