PERMATANG PAUH – Malaysia masih mempunyai ruang untuk mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung keputusan negara itu mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas barangan dari negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara akan memanfaatkan peluang rundingan yang ada sebelum tarikh pelaksanaan tarif berkenaan yang dijadual bermula 1 Ogos ini.
Menurut beliau, beberapa negara serantau lain turut berunding dengan AS, termasuk Indonesia yang berjaya menurunkan kadar tarif daripada 30 peratus kepada 19 peratus. Bagaimanapun, kadar tarif ke atas Thailand dan Kemboja dilaporkan kekal.
“Pada ketika ini, ekonomi dunia begitu gawat termasuk cabaran kenaikan tarif daripada Presiden AS, Donald Trump.
“Indonesia berunding dari (tarif) 30 peratus kepada 19 peratus. Minggu lalu pula dikatakan Thailand (tarif) masih 30 peratus, Kemboja pula 40 peratus (masih sama).
“Kita (Malaysia) ada sampai awal Ogos untuk memutuskan (buat rundingan) dengan (guna) pendekatan berbeza tapi ada beberapa syarat yang kita tegaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa Malaysia kini menerima pengiktirafan antarabangsa susulan kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini yang menghimpunkan menteri-menteri luar dari negara-negara utama dunia.
“Kita dapat kumpulkan Menteri-Menteri Luar dari negara-negara utama dunia (dalam persidangan itu).
“Negara Asia (seperti) Jepun, Korea, China, Amerika Syarikat, Rusia (semuanya datang) berunding di sini. Alhamdulillah, Malaysia dapat pengiktirafan dunia (dalam penganjuran ini),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Malaysia termasuk dalam senarai negara yang akan dikenakan tarif import oleh AS sebanyak 25 peratus, berdasarkan pengumuman oleh Presiden Donald Trump yang dimuat naik di platform media sosial Truth Social.
Dalam kenyataan itu, Trump memaklumkan tarif baharu tersebut akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos, membabitkan barangan import dari beberapa negara termasuk Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan, dengan kadar yang berbeza mengikut negara.
Malaysia dikenakan tarif tetap sebanyak 25 peratus kadar sama seperti Jepun dan Korea Selatan. – MalaysiaGazette
















