KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Melaka, Dr. Shawn Loh Sheng Nian hari ini mengkritik keras serangan peribadi dalam talian yang menggunakan nama masyarakat Cina sebagai justifikasi, menjelang penganjuran ‘Perhimpunan Turun Anwar’ yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini.
Menurut beliau, kebebasan bersuara adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang wajar dihormati, namun tindakan menunggang kebebasan tersebut untuk menyerang secara peribadi dan menyentuh sensitiviti kaum tidak seharusnya dibenarkan.
“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghasut atau melancarkan serangan bersifat perkauman. Beberapa komen dalam talian yang kononnya mewakili suara masyarakat Cina telah menggunakan ruang ini untuk menyebarkan mesej kebencian yang tidak membawa manfaat kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shawn menyifatkan pendekatan sedemikian bukan sahaja menyeleweng daripada semangat demokrasi yang sihat, malah berpotensi menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini.
Tegasnya, sebarang bentuk perhimpunan perlu berlangsung secara aman dan rasional serta menjunjung nilai saling menghormati.
“Perhimpunan aman ialah hak rakyat yang dijamin Perlembagaan tetapi apabila ia dijadikan pentas untuk mencetus ketegangan kaum dan memperlekeh pihak tertentu secara peribadi, itu mencemar nilai-nilai demokrasi,” ujarnya.
Dalam kenyataannya, Shawn turut menggesa penganjur dan peserta perhimpunan untuk memelihara adab perbincangan awam dan tidak menggunakan bahasa kasar atau bersifat diskriminatif yang boleh membakar sentimen perkauman.
Beliau juga menyeru pihak berkuasa untuk memantau dan bertindak terhadap sebarang kenyataan tidak wajar di media sosial yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
“Tanpa mengira perbezaan fahaman politik, semua pihak perlu berpegang kepada prinsip saling menghormati untuk memastikan perpaduan rakyat Malaysia terus terpelihara,” tegasnya.
Perhimpunan “Turun Anwar” yang dijadualkan pada 26 Julai depan dijangka menghimpunkan pelbagai kumpulan dengan pelbagai tuntutan, namun Shawn menegaskan penganjuran seperti itu hanya akan bermakna jika ia dijalankan dengan penuh tanggungjawab, tidak meretakkan hubungan antara kaum, serta menjunjung nilai demokratik secara tulen. – MalaysiaGazette















