KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) berpendirian fokus utama kerajaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang haruslah kekal kepada usaha membawa pulang ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low untuk menghadapi pertuduhan di Malaysia.
AMK dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jho Low adalah watak penting dalam skandal 1MDB yang telah merugikan negara berbilion-bilion ringgit, dengan anggaran kerugian yang ditanggung kerajaan mencecah AS$18 bilion (lebih RM82 billion).
Menurutnya, ia adalah angka yang sangat besar dan memberikan impak langsung kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara.
“Kecurangan ini juga telah mengakibatkan rakyat dan negara terpaksa menanggung beban kerugian sehingga ke hari ini.
“Kehadiran beliau di mahkamah adalah penting untuk melengkapkan proses keadilan dan mengembalikan aset negara yang telah dijarah,” katanya.
Semalam, beberapa media antarabangsa yang memetik dua wartawan penyiasat iaitu Bradley Hope dan Tom Wright mendakwa Jho Low kini tinggal di Shanghai, China menggunakan identiti palsu dengan nama ‘Constantinos Achilles Veis’ serta pasport Australia palsu.
Pendedahan itu dibuat dua wartawan berkenaan yang membongkar skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Bradley Hope dan Tom Wright dalam episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright.
Sementara itu, mengulas pendedahan media antarabangsa terbabit, AMK menyifatkan perkara tersebut sekiranya benar, menimbulkan persoalan serius tentang keberkesanan usaha membawa Jho Low ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, tambahnya, adalah penting untuk semua pihak berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan sistem keadilan negara berkait kes tersebut.
Jelasnya, sebarang tuntutan yang dibuat haruslah berdasarkan kepada kerangka undang-undang sedia ada dan tidak boleh dilihat sebagai mencampuri proses undang-undang di bawah badan kehakiman.
Dalam masa sama, AMK menggesa kerajaan meningkatkan usaha kerjasama dengan Interpol dan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa lain bagi mengesan dan membawa pulang Jho Low dengan segera, tanpa sebarang kompromi.
Selain itu, katanya, semua pihak pihak terutama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan turut diseru untuk terus fokus kepada agenda reformasi institusi dan pengukuhan tadbir urus yang baik.
“Keutamaan kita adalah memastikan keadilan ditegakkan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya, AMK akan terus memantau perkembangan kes Jho Low dan isu-isu berkaitan 1MDB dan akan terus mendukung segala usaha untuk membasmi amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, bagi menjamin masa depan Malaysia yang lebih bersih dan bermaruah. – MalaysiaGazette
















