Pemain Malaysia, Syafiq Ahmad meraikan jaringan ketiga Harimau Malaya pada perlawanan Malaysia menentang Bangladesh pada kelayakan Piala Asia 2023. Foto MOHD ADZLAN, 13 JUN 2022.

KUALA LUMPUR –  Bekas penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad meneruskan kariernya di luar negara apabila sah menyertai kelab yang berpangkalan di Bandar Seri Begawan Brunei, DPMM FC bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2025/2026.

Perkembangan itu diumumkan secara rasmi menerusi laman sesawang DPMM FC, sekali gus mengesahkan desas-desus perpindahan yang sebelum ini berlegar di media sosial.

“Syafiq Ahmad, pemain JDT (Johor Darul Ta’zim) telah memutuskan untuk menyertai DPMM FC menjelang saingan Liga Super musim hadapan,” kata kenyataan rasmi kelab.

Syafiq, 30, sebelum ini dipinjamkan ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi musim lalu dan mencatatkan 15 penampilan termasuk dua gol serta satu bantuan jaringan sepanjang kempen itu.

Penyerang kelahiran Pulau Pinang itu turut dipanggil menyertai skuad kebangsaan sebanyak dua kali sepanjang tahun lalu.

Perpindahan ini dijangka menyuntik nafas baharu dalam kerjaya Syafiq yang pernah membantu JDT dan Kedah menjulang pelbagai trofi di pentas domestik.

Lebih menarik, Syafiq bakal bersaing dengan penyerang kebangsaan Indonesia, Ramadhan Sananta bagi merebut tempat sebagai ‘target man’ utama skuad kendalian DPMM musim depan.

Ini mungkin peluang terbaik untuk menghidupkan kembali kariernya di pentas lebih mencabar dan membuktikan dia masih berbisa meskipun tidak lagi menjadi pilihan utama di JDT. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast