Datuk Mahfuz Omar. Sheraton Move party hopping anti-party hopping dewan rakyat parliament
Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mendakwa rakyat kesal melihat gelagat luar biasa Pas yang mahu menjatuhkan dan menurunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, tindakan itu seolah-olah menjadi fardu ain utama dalam perjuangan Pas, lebih utama daripada membanteras dadah, menangani kemiskinan atau menjaga akhlak rakyat.

Sedangkan, ujar beliau, rakyat Kelantan semakin terhimpit dengan gejala penyalahgunaan dadah, penyeludupan dan kini pesta gay, ketika pemimpin Pas begitu tekun menyusun strategi jalanan dan propaganda di media sosial.

“Mana perginya “Negeri Islam”? Mana perginya “Islam memimpin”? Mana perginya kerajaan yang konon “lebih baik dari DAP dan PH”?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah beliau, realiti hari ini menunjukkan pemimpin Pas Kelantan lebih banyak berceramah daripada merangka dasar dan lebih banyak berdoa daripada bertindak.

Dakwanya, Pas juga ibarat syarikat sendirian berhad berlabelkan Islam, namun produknya adalah dasar sosial yang kosong; gagal mewujudkan pekerjaan dan hanya laku dalam pasaran emosi.

“Mereka tidak mampu bangunkan negeri sendiri, tapi mahu ajar negara bagaimana memilih perdana menteri,” katanya.

Sementara itu, tambah Mahfuz, Amanah percaya Islam bukan hanya untuk dipamerkan melalui papan tanda, tetapi dijelmakan dalam beberapa aspek lain.

Antaranya, melalui tadbir urus yang bersih; pendidikan yang membina akhlak dan sahsiah dan pentadbiran yang memberi harapan serta tindakan.

“Cukuplah politik benci dan hipokrasi. Jika Pas masih tak mampu urus negeri sendiri, apakah kelayakan mereka nak mentadbir negara dan nak bawa slogan turunkan Anwar Ibrahim,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast