ROMPIN – Seorang peniaga ayam segar maut selepas kereta Toyota Camry yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 149 Jalan Kuantan–Segamat, di sini dalam nahas 8 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa Ab Hamid Md Saman, 69, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala.
Manakala pemandu lori jenis Hino yang berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Semasa kejadian, kereta yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah rumahnya di Felda Keratong 1 menuju ke Segamat untuk mengambil bekalan ayam segar.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta tersebut telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke lorong bertentangan sebelum melanggar lori yang datang dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sharif Shai, mayat mangsa dibawa hospital dan proses bedah siasat dilakukan di Hospital Muadzam Shah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















