ROMPIN – Seorang peniaga kedai makan maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas sendiri ketika dalam perjalanan ke premisnya yang terletak di Felda Selancar 2, di sini pada petang semalam.
Ketua Polis Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya dekat Felda Selancar 4, di sini.
Mohd Junaidi Ahmad, 34, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala di lokasi nahas.
”Mangsa tidak memakai topi keledar, dan tidak mempunyai lesen memandu serta menunggang motosikal Honda C100 milik isteri yang cukai jalannya tamat tempoh.
”Semasa mangsa dalam perjalanan dari arah Felda Selancar 4 menghala ke Felda Selancar 2 dia telah terbabas dan melanggar tiang papan tanda jalan yang berada di bahu jalan sebelah kanan.
“Mangsa didapati menunggang secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah dan proses bedah siasat telah dijalankan jam 11 malam tadi.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















