Gambar hiasan

KOTA BHARU – Tiga lelaki termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) didenda antara RM3,000 hingga RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku memiliki gambar dan video lucah sejenis dalam telefon bimbit mereka.

Muhammad Al Azamuddin Al Fadzil, 22, dan Mohamad Syahmi Firas Mohd Jurij, 27, masing-masing didenda RM4,000 manakala Mohd Hanafi Ibrahim, 47, didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Kemumin, Kampung Pulau Belacan, Panchor di sini pada 1.15 pagi 18 Jun lepas mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah dan Nur Haziqah Hassan manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Chong Yin Xin.

Terdahulu, Muhammad Nadzir dan Nur Haziqah memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat kerana kesalahan yang dilakukan adalah tidak bermoral serta bertentangan dengan norma awam.

Bagaimanapun, Chong memohon supaya kesemua anak guamnya dikenakan denda paling minimum atas alasan mereka sudah insaf dan berjanji akan berubah.

“Anak guam saya yang pertama, Mohd Hanafi, memiliki masalah kesihatan dalam otak selain pernah menjalani pembedahan kepala pada 2016 dan kini ditanggung oleh kakaknya yang juga Orang Kurang Upaya serta bekerja di kedai makan.

“Muhammad Al Azamuddin pula adalah penuntut universiti tahun pertama manakala Mohamad Syahmi Firas adalah penuntut akhir di IPT dan keluarga masing-masing turut hadir di mahkamah serta berjanji akan membimbing mereka selepas ini,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast