Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Jerangau–Jabor, Mukim Sungai Karang, Kuantan mula dikesan petang semalam

PEKAN – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat paras tidak sihat di Balok Baru, Kuantan dan Temerloh, Pahang dengan bacaan 152 sehingga jam 6 petang tadi.

Semakan menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) mendapati, stesen pengawasan kualiti udara di Indera Mahkota Kuantan juga menghampiri paras tidak sihat iaitu bacaan 95 sehingga jam 6 petang.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika ditemui hari ini menasihati masyarakat agar tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Ditanya terdapat keperluan menghadkan aktiviti di luar  terutamanya kemungkinan penutupan sekolah di Balok Baru, Kuantan dan Temerloh berikutan bacaan IPU tidak sihat, beliau berkata keadaan masih terkawal.

“Jika bacaan Indeks Pencemaran Udara melebihi paras kritikal, baharulah kerajaan akan buat keputusan menutup operasi sekolah,” katanya pada sidang media sempena Program Ramah Mesra bersama Kepimpinan Seri Mahkota, di sini, hari ini.

Mohammad Fakhruddin menasihati golongan yang merokok agar tidak membuang puntung rokok merata-rata sehingga boleh mengakibatkan kebakaran.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat), dan lebih 300 (berbahaya).

Terdahulu, ASEAN Specialized Meteorological Centre (ASMC) mengeluarkan laporan 40 titik panas di Sumatera, 64 titik panas di Kalimantan dan 19 titik panas dikesan di dalam negara iaitu 12 di Sabah, masing-masing 3 di Pahang dan Sarawak dan 1 di Selangor.

Kemerosotan kualiti udara di kebanyakan kawasan terlibat masih dipengaruhi jerebu rentas sempadan.

Selain itu, terdapat insiden kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Jerangau–Jabor, Mukim Sungai Karang, Kuantan, Pahang yang menyebabkan bacaan IPU tidak sihat di Balok Baru Kuantan dan Kemaman,Terengganu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast