KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan sebuah bot oleh tekong dan awak-awak berjaya dipatahkan pada Sabtu lalu.
Tangkapan dilakukan sekitar jam 12.30 tengah malam ketika serbuan di dua batu nautika dari persisir pantai Sungai Pulau, Bagan Nakhoda di Sabak Bernam oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Taring Gelora Khas.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, sepasukan Unit Gempur Marin (UNGGERIN) bersama bot ronda RH 16, Spear 02 dan PSC 15 telah mengesan sebuah bot mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut, pihak anggota mendapati terdapat 25 lelaki dan seorang wanita dewasa warga Indonesia di dalamnya.
“Ketika serbuan tekong dan awak-awak bertindak terjun ke laut bagi mengelak ditahan, namun berjaya ditemui oleh bot ronda PSC 15 tidak lama kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati bot itu digunakan untuk menghantar PATI masuk ke Malaysia melalui laluan laut yang tidak diwartakan.
“Susulan maklumat hasil serbuan pertama, satu lagi tangkapan berjaya dilakukan sekitar jam 1 pagi di pesisir pantai Sungai Pulai melibatkan dua lagi warga Indonesia.
“Kedua-dua individu dipercayai cuba keluar dari Malaysia melalui laluan sama dan sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal secara tidak sah,” jelasnya.
Ujar Rusley lagi, semakan lanjut ke atas kesemua suspek yang ditahan termasuk tekong dan awak-awak didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.
“Kesemua individu yang diberkas disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Jumlah keseluruhan tangkapan seramai 32 orang, terdiri daripada 30 lelaki dan dua wanita warga Indonesia,” katanya.- MalaysiaGazette

















Boleh kah lihat video tangkapan nya