Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 Julai 2025

KUALA LUMPUR – Garis Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka siap September ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya kini dalam proses menyiapkan garis panduan yang akan diwujudkan demi memastikan ia digunakan secara beretika, selamat dan berpandukan nilai murni.

“Elemen AI diintegrasikan secara progresif dalam kurikulum termasuk melalui Mata Pelajaran Teknologi dan Digital di sekolah rendah serta subjek seperti Sains Komputer, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan Reka Bentuk dan Teknologi di peringkat menengah.

“KPM sentiasa komited dan bersedia untuk menambah baik sistem pembelajaran berasaskan teknologi dan digital secara berterusan,” katanya di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) memintanya menjelaskan pemerkasaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui penerapan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM merangka merangka lima fokus utama dalam PPM 2026 hingga 2035.

Ia merangkumi kualiti, akses dan ekuiti, ketersediaan sumber dan kecekapan, keluwesan serta kemampanan.

Menurutnya, pelan tersebut memberi perhatian kepada penjajaran kurikulum dengan realiti pasaran, pembelajaran berasaskan teknologi seperti AI dan pemerkasaan ekosistem TVET. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast