KUALA LUMPUR – Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi sepanjang tahun lalu melibatkan pelbagai kesalahan jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Md Isa berkata, sebanyak 1,155 individu telah ditahan hasil 1,127 laporan yang diterima oleh dua unit berkenaan pada tahun 2024.
“MPV dan URB merupakan petugas barisan hadapan bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kejayaan yang dicapai ini jelas terbukti berdasarkan statistik semasa.
“Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, iaitu pada 2023 yang merekodkan sebanyak 934 tangkapan daripada 913 laporan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pangkalan Cawangan Kereta Peronda (MPV) di Jinjang hari ini.
Menurut Rusdi, antara kejayaan lain yang dicapai oleh unit MPV IPD Sentul termasuk tangkapan berkaitan kes curi kabel, pengedaran dadah, kecurian kenderaan serta penganjuran program pencegahan jenayah bersama masyarakat.
“Unit MPV memainkan peranan penting dalam usaha membanteras dan mencegah jenayah melalui rondaan pencegahan di kawasan berisiko tinggi.
“Antaranya adalah taman perumahan, stesen minyak, rumah ibadat, institusi kewangan, kedai serbaneka 24 jam, rumah orang kenamaan dan kilang.
“Dengan pengoperasian pangkalan ini, operasi unit MPV akan menjadi lebih tersusun, sistematik dan cekap, sekali gus membantu memperkukuhkan peranan unit ini dalam mengurangkan kadar jenayah,” tambahnya. – MalaysiaGazette.
















