KUALA LUMPUR – Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP) akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen dalam masa terdekat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia merangkumi usaha terhadap pembangunan keupayaan pertahanan kendiri meliputi pembangunan teknologi, sistem persenjataan, prasarana penyelenggaraan dan pemantapan modal insan tempatan yang bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada kuasa luar serta meningkatkan kecekapan tindak balas terhadap sebarang ancaman.
“Kementerian Pertahanan sememangnya berpendirian keupayaan pertahanan kendiri merupakan teras kepada kedaulatan, keselamatan dan kebebasan negara khususnya dalam menghadapi landskap geopolitik yang semakin mencabar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Kamal Ashaari (Pas-Kuala Krau) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan langkah kerajaan bagi membina keupayaan pertahanan kendiri dan ketenteraan termasuk pembangunan teknologi senjata tempatan dan pengurangan kebergantungan kepada kuasa luar dalam menghadapi ancaman masa depan seperti yang dilakukan oleh negara Iran.
Sebagai rekod, Mohamed Khaled berkata, KSP KPP dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 25 Jun lalu.
Menurutnya, Kementerian Pertahanan sedang dan akan membangunkan pembangunan keupayaan pertahanan kendiri dengan menekankan beberapa aspek utama antaranya Pemerkasaan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) sebagai pusat kecemerlangan di rantau Asia Tenggara.
“Pendekatan ekosistem bersepadu dalam membina keupayaan sains, teknologi dan inovasi pertahanan; Penstrukturan semula Malaysian Industry Council for Defence Enforcement & Security (MIDES) kepada Majlis Strategik Industri Pertahanan bagi penambahbaikan tadbir urus.
“Pembangunan dasar Program Kolaborasi Industri (ICP) sektor pertahanan yang komprehensif dan Penubuhan Syarikat Bertujuan Khas (SPV) di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi mempertingkatkan jalinan pembangunan industri dalam ekosistem pertahanan tempatan serta memperkasakan pengurusan ICP,” tambahnya.
Selain itu, katanya, kementerian itu sedang memuktamadkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) sebagai rangka kerja strategik untuk memperkukuh kemandirian, inovasi dan kemajuan teknologi dalam industri pertahanan Malaysia.
“DIPN kini di peringkat akhir penyediaan dan dijadualkan untuk dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri pada Ogos 2025,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















