Seorang wanita maut selepas terlibat kemalangan motosikal dan kereta di Jalan Mawai-Kuala Sedili, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 10 Jalan Mawai-Kuala Sedili di sini hari ini.

Kemalangan tersebut mengorbankan wanita warga tempatan, Nor Hatiqah Maizan yang berusia 34 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut daripada orang awam pada pukul 8.55 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang wanita berkenaan dengan sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang wanita yang juga warga tempatan berusia 30 tahun.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal terbabit keluar simpang secara mengejut dan mengakibatkannya berlanggar dengan kereta yang berada di laluan utama.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat manakala pemandu kereta tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun, serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.

Pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun, katanya.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka serta mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya bagi menjamin keselamatan kesemua pengguna,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast