Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan pengharaman penuh rokok elektronik atau vape, selaras dengan komitmen melindungi kesihatan awam dan membendung ketagihan nikotin dalam kalangan orang belum dewasa (OBD).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu antara yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen hari ini, bertujuan membentangkan perkembangan pelaksanaan dan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].

Menjelaskan lebih lanjut, menurutnya, akta itu yang mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024, merupakan satu titik tolak penting dalam usaha negara memperkukuh kawalan terhadap semua bentuk produk merokok, termasuk rokok elektronik atau vape yang semakin berleluasa dalam kalangan remaja.

Ujarnya, dalam mesyuarat itu, beliau turut memaklumkan yang mana mulai 1 Oktober 2024, tiada produk tembakau atau vape boleh diimport, dikilang atau diedar tanpa didaftarkan di bawah Akta 852.

Selain itu, katanya, beliau turut memaklumkan Jawatankuasa Kepakaran juga telah ditubuhkan bagi menilai kesan kesihatan dan mencadangkan kawal selia yang lebih ketat terhadap vape.

Turut dimaklumkan, ujarnya, kerjasama rentas agensi dengan polis; kastam; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah digerakkan supaya penguatkuasaan Akta 852 tidak bersifat silo.

“Lebih 6,500 pegawai diberi kuasa berada di lapangan untuk menjalankan operasi penguatkuasaan.

“Beberapa negeri kini juga mempertimbang larangan pelesenan premis jualan vape, iaitu satu langkah yang kami di KKM sokong sepenuhnya,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Sementara itu, Dzulkefly melahirkan keyakinan dengan sokongan semua pihak termasuk ahli-ahli Parlimen, negara mampu memastikan Akta 852 benar-benar menjadi benteng pertahanan kesihatan generasi muda. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast